Monday, October 03, 2011

Perempuan Jelita di Sudut Jalan

Manusia oportunis itu ada di mana-mana. Bukan sekadar para politikus di pentas politik yang sedia dimaklumi memang itulah tabiat naturalnya, tetapi bahkan manusia ramai dan masyarakat awam pun tidak kurangnya memiliki sifat yang sama.

Saya melanggar sebuah kereta secara tidak sengaja ketika sedang memandu di persimpangan keluar dari Dataran Mentari, Bandar Sunway. Momentum langgaran itu tidaklah teruk, kerana jalan raya memangnya sedang lagi macet, justeru kereta saya ketika itu bergerak dengan sangat perlahan – kurang dari 10 k/m sejam – ketika melanggar kereta hadapan. Mungkin saja, saya mengagak, kelajuannya hanya 5 k/m sejam.

Pemandu kereta yang saya langgar itu adalah seorang perempuan muda berbangsa Cina. Cantik juga raut wajahnya. Rambutnya lurus melepasi sedikit dari paras bahu, dan bersinar mengurai. Matanya tidaklah sepet, sebaliknya agak sedang-sedang bundar. Kulitnya persih dan mulus. Alisnya hitam dan cantik garisannya. Kalau bukan bertemu dalam keadaan kemalangan jalan raya seperti itu, barangkali saya akan mengajaknya untuk berkenal-kenalan.

Cahaya matahari terik memancar, kerana ketika itu sudah hampir ke tengah hari – pukul 11.30. Setelah memberhentikan kereta di sudut tepi jalan, saya pun keluar. Dengan teratur saya memohon maaf kepada perempuan Cina muda yang cantik itu. Jalan mulai semakin sesak kerana kami berhenti di sudut seperti itu -- bunyi hon kenderaan pula saling tingkah bertingkah. Kemudian saya melihat kepada kesan langgaran pada keretanya – hanya ada segarit calar pada bumpernya; dan tidak ada kemek sama sekali. Pada kereta saya pula tak kelihatan ada apa-apa kesan.

Saya menawarkan kepada dia RM50 sebagai bayaran penyelesaian – mengambil kira sedikitnya kerosakan pada keretanya – serta sebagai tanda memohon maaf.

Tetapi perempuan muda berbangsa Cina yang cantik itu – yang kalau saya bertemu dengannya bukan dalam keadaan kemalangan jalan raya barangkali saya akan mengajaknya untuk berkenal-kenalan – ternyata telah membalas dengan menengking dan memarahi saya menggunakan bahasa Inggeris yang berterabur dan tunggang-langgang.

But you oledi langgar my car! But you oledi bikin rosak my car! I want more! I want more! Fifty not enough! Fifty too small!”

Saya cuba berasional dengannya. Masa kan calar segarit seperti itu mahu dimintanya lebih. Perempuan muda berbangsa Cina yang amat menawan rautnya itu ternyata tetap berdegil. Barangkali kerana dia telah menangkap saya mengakui kesalahan saya dengan begitu mudah tanpa berdolak dalih sebaik-baik saja saya keluar kereta – admitting my guilt without further ado – makanya dia mahu membuat setinggi-tinggi keuntungan dari pengakuan bersalah saya tersebut.

Apa salahnya mengaut untung berlipat ganda dari sebuah perlanggaran kecil, bukan? Apa salahnya menangguk di air keruh kalau boleh mendapat pulangan lumayan, bukan?

Akhirnya, kerana dia masih sahaja terus bercakap dalam bahasa Inggeris yang cacamarba untuk meminta lebih dari saya, maka saya berikan kepadanya kata dua: mahu terima RM50, atau pergi buat laporan polis – yang mana kalau dia memilih yang kedua, maka keretanya nanti akan terpaksa ditahan di situ selama satu atau dua minggu. Saya katakan kepadanya bahawa saya seorang peguam dan saya tahu prosedurnya yang merenyahkan.

Perempuan Cina jelita itu tetap berkeras; walau tampak pada sinar matanya yang cantik itu sudah mulai serba salah.

Saya meninggalkannya – tanpa membayar – dan kemudian masuk ke kereta semula untuk beredar. Perempuan Cina itu segera mengejar. Kemudian mengetuk-ngetuk cermin kereta.

Gimme your money.”

“Awak mahu RM50 atau mahu pergi buat laporan polis?”

I want fifty ringgit. Gimme money.”

Saya pun berikan kepadanya duit. Dia menerimanya dengan wajah masam – walaupun masih tetap cantik.

* * * * *

Nota: Foto adalah lukisan minyak oleh Tom Brown bertajuk Follow the Leader

9 comments:

TiMbAHiJaU said...

bila terjadi perkara tidak diingini seperti kes kemalangan yang kecil sebegini, pada saya perlulah menenangkan diri dahulu :)

Aidil Khalid said...

Mesti ambil nafas dalam-dalam. =)

Shafa said...

Dan Aidil menjawab dalam bahasa apa? BM atau Manglish?

Bilal binti Robah said...

perempuan sekarang mmg rude
aku tak nafikan

Aidil Khalid said...

Shafa, saya pakai bahasa German. Hehe.

Bilal binti Robah, tidak semua perempuan tentunya. Mungkin hanya segelintir saja. =)

Fatimah said...

boleh pakai cara ni, klu x teruk la

said...

Gentleman as always :)

fadz said...

Bilal, seksis tu.. hahaha

Anonymous said...

Hmmm... Aidil minat pada perempuan beraut wajah Cina, ya?

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP