Saturday, October 01, 2011

TV Al-Hijrah

Kadang-kadang kita telah menyiapkan dalam fikiran apa yang ingin kita katakan apabila ditanya nanti; tetapi apabila tiba waktunya, dan soalan diajukan, kita memberikan jawapan yang lain pula. Seolah-olah mulut yang dibuka dan lidah yang berbicara saling bersanggahan.

Tadi pagi saya bersiaran dalam TV Al-Hijrah untuk rancangan Assalamualaikum. Memandangkan pihak penerbit rancangan tersebut telah terlebih dahulu memberitahu serba ringkas akan skop persoalan yang akan ditanyakan – yakni kira-kira tentang pengalaman kreatif sebagai anak muda yang berkecimpung dalam dunia perundangan tetapi turut menulis karya sastera; serta aspirasi dan idealisme kepengarangan para pengarang muda masa kini – maka saya telah juga sedikit sebanyak menyematkan dalam fikiran akan jawapan yang akan saya berikan nanti. Misalnya kalau ditanya bagaimana saya boleh mula-mula menceburi bidang sastera walhal saya berkecimpung dalam profesyen perundangan, maka akan saya jawab bahawa profesyen perundanganlah yang telah melorongkan saya ke bidang sastera. Kerana dalam undang-undang itu sendiri sebenarnya begitu banyak elemen-elemen kesusasteraannya. Bacalah mana-mana laporan kes dari mana-mana jilid Malayan Law Journal yang tebal itu, maka anda akan menemui begitu banyak elemen kesusateraan di dalamnya yang memaparkan pelbagai jalan cerita tentang manusia dan kemanusiaannya berhadapan dengan pelbagai situasi kehidupan yang serba rencam. Setiap kes ada jalan ceritanya yang tersendiri; ada sebab dan akibat plotnya, ada watak dan perwatakannya, ada klimaksnya, bahkan ada juga nanti peleraiannya. Malahan kalau anda membaca pula laporan-laporan kes dari beberapa tokoh hakim legenda, seperti Lord Denning misalnya, anda akan menemui keindahan bahasanya yang adakalanya dihias perumpamaan-perumpamaan puitis.

Justeru begitulah kira-kira telah saya rancang mahu menjawab, jika persoalan itu diajukan oleh pengacara bual bicara Assalamualaikum nanti.

Tetapi, apabila tiba pada waktunya, dan saya sedang duduk di set studio rancangan Assalamualaikum dengan dua-tiga buah kamera dari beberapa sisi menembak ke arah saya dan rakan-rakan pengarang Lutfi Ishak dan Rebecca Ilham, dan soalan tersebut ditanyakan oleh pengacara -- dalam keadaan saya menyedari bahawa ianya disiarkan secara live ke seluruh negara -- saya telah memberikan jawapan yang bukan seperti direncanakan di atas. Entah kenapa; entah kenapa. Barangkali kerana saya telah sedikit terbawa oleh alur perbincangannya, memandangkan di bahagian awal slot, pengacara telah menanyakan beberapa persoalan lain yang tidak saya rencanakan jawapannya mengenai program Dialog Orang Muda, justeru memerlukan saya menjawab secara langsung tanpa boleh bersandar kepada jawapan yang telah difikirkan lebih awal. Atau mungkin juga kerana saya sedikit nervous. Entahlah.

Apa pun, apabila saya fikir-fikir kembali seusai habis bual bicara rancangan Assalamualaikum pagi tadi dan saya sedang lagi memandu pulang ke rumah, saya harus akui bahawa jawapan yang saya berikan secara spontan tanpa direncanakan itu ternyata lebih tulus dan jujur. Memang benar, bahawa saya mula-mula mendapat ‘pencerahan’ tentang kesusasteraan sebenarnya bukanlah kerana membaca laporan-laporan kes perundangan (walaupun tak juga boleh dinafikan bahawa undang-undang turut menyumbang sedikit sebanyak), sebaliknya setelah membaca sebuah cerpen yang begitu simple jalan ceritanya, tetapi sangat sarat makna kritikan sosialnya yang ditulis oleh Nik Nazmi Nik Ahmad.

Walaupun Nik Nazmi bukanlah seorang yang dikenal sebagai pengarang fiksyen -- kerana beliau lebih banyak menulis esei-esei politikal -- tetapi sentuhan fiksyennya yang satu itu telah begitu mengesankan saya. Cerpen itu, yang saya baca kira-kira lapan tahun lalu, seingat saya, bertajuk Twenty Fifty Seven (walaupun tajuknya berbahasa Inggeris, tetapi ceritanya berbahasa Melayu). Jalan ceritanya mengambil latar tahun 2057, iaitu pada ketika negara sedang lagi menyambut 100 tahun kemerdekaan. Dan ketika itu digambarkan keadaan anak-anak watan yang lahir dari sistem pendidikan yang mengkesampingkan kepentingan bahasa Melayu sebagai sumber jati kebangsaan.

Dari sebuah cerpen yang begitu simple itulah, saya bagai mendapatkan suatu kesedaran, bahawa sastera bukan semata-mata tentang bercerita untuk membuai-buai perasaan atau berjiwa-jiwa. Sebaliknya sastera adalah suatu bidang yang mana di samping berghairah dengan kisah-kisah manusia dan kehidupannya, ia juga secara langsung atau tak langsung turut menghantar mesej-mesej tertentu, seperti kritikan sosial yang tajam misalnya.

Kadang-kadang, apabila lidah tak mengikut apa yang direncanakan, barangkali itu hanyalah disebabkan suara hati yang lebih kuat dari akal fikiran yang merencanakan.

3 comments:

Anonymous said...

Salam.... saya penerbit pagi itu di dalam rancangan Assalamualaikum.. iya jawapan kamu tulus dan spontan... dan kita tak berjumpa pada pagi itu kerana saya sibuk diconti room dan awk distudio.. anyway tq for coming dn En Zainal so excited to invited u jd guest...jika saya nak join dialog orang muda ok tak? syafinah.

Aidil Khalid said...

Salam Syafinah,

Ya, tentunya sdri dialu2kan untuk datang. Program Dialog Orang Muda mmg terbuka untuk semua yang berminat. Malah kalau dtg nak buat liputan pun boleh. Hehe.

Aidil Khalid said...

Salam Syafinah,

Ya, tentunya sdri dialu2kan untuk datang. Program Dialog Orang Muda mmg terbuka untuk semua yang berminat. Malah kalau dtg nak buat liputan pun boleh. Hehe.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP