Monday, December 05, 2011

Tolstoy, Shahnon, dan Faisal Tehrani

"Malah Tolstoy sendiri kemudiannya menolak karya-karyanya yang dianggap penting oleh khalayak sastera."

Dialog di atas pernah saya ungkapkan kepada seorang rakan, Wan Nor Azriq, yang merupakan graduan sastera Inggeris selain merupakan kritikus muda yang saya kira berbakat besar, sungguhpun sebetulnya kami selalu berbeza pendapat. Ketika baru berusia 21 tahun, esei kritikannya sudah berjaya memikat hati editor majalah Dewan Sastera. Bacaannya sangat meluas dan tidak terkurung dalam kepompong sastera tempatan sahaja sebaliknya juga merangkumi karya-karya besar antarabangsa. Sekarang, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarang majalah S.O.S, sebuah majalah baharu yang mengangkat isu-isu kesenian dan kesusasteraan mutakhir, diterbitkan di bawah payung bersama Persatuan Penulis Nasional (Pena) dan Sindiket SolJah.

Kami ketika itu sedang berbahas -- aspek apakah yang menjadikan sesebuah karya itu tahan zaman: bentuknyakah atau maknanya? 'Bentuk' mewakili gaya atau teknik penyampaian serta kreativitinya -- yakni keindahan luarannya; sedangkan 'makna' pula mewakili isinya, termasuklah idea, pesan, gagasan, falsafah, serta tentunya, ilmu - -yakni keindahan dalamannya. Kebetulan ketika itu saya baru sahaja usai membaca The Last Station tulisan Jay Parini yang merakamkan hari-hari akhir kehidupan sasterawan besar Rusia, Leo Tolstoy.

Dari situ saya dapati Tolstoy pada penghujung hayatnya telah menghadapi tekanan besar atas kehidupan zaman mudanya. Beliau membenci gaya hidupnya yang lalu serta tidak mengiktiraf karya-karyanya yang dianggap besar. Malahan Tolstoy dikatakan pernah mengumumkan bahawa War and Peace bukanlah sebuah novel.

Ternyata pada usia senjanya, Tolstoy telah membuat perubahan terhadap dirinya untuk menjadi reformis moral, justeru beliau menolak mana-mana karya yang sekadar bercerita dan tidak berdidaktis -- yakni berpesan, menyampaikan ilmu dan pemikiran atau sekurang-kurangnya berfalsafah -- kepada pembaca. Dengan kata lain, Tolstoy adalah pengarang yang menolak kepentingan estetika bentuk, atau sekurang- kurangnya begitulah pendirian akhirnya sebelum meninggal dunia. Malah dia dikatakan mencemuh karya-karya dramatis agung, William Shakespeare, atas sebab yang sama.

Tolstoy inginkan sebuah karya yang mana pesanan moralnya ditonjolkan dengan terang -- kerana baginya hanya dengan cara itulah khalayak akan mendapat manfaat dari apa yang dibaca. Beliau tidak mahu karya yang samar-samar maknanya atau yang hanya bermain dengan teknik dan gaya, betapapun ia kretif.

"Tetapi Tolstoy dikenang sampai ke hari ini bukanlah kerana dia seorang moralis!" begitu Wan Nor Azriq menyanggah kembali dalam nada protes. "Yang kekal dalam ingatan pembaca adalah Tolstoy novelis agung aliran realisme yang meninggalkan dua buah magnum opus - War and Peace dan Anna Karenina - serta merakamkan kemanusiaan dengan sangat dekat dan rinci. Dia tidak diingat kerana didaktik, ilmu, falsafah atau kerana gagasannya biar bagaimana besar sekalipun. Dia diingat hanya kerana seninya."

Justeru, begitulah kira-kira menurut rakan saya itu, apa yang penting bukanlah makna sesebuah karya, tetapi bentuknya itulah yang lebih utama -- cara bagaimana isi sesebuah karya itu dipersembahkan. Azriq malah menyambung lagi: "Sebenarnya saya melihat situasi Tolstoy itu sama sahaja seperti gaya penyesalan Shahnon Ahmad di zaman ini."

Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang terkenal dengan karya-karya awalnya seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Srengenge, dan Tivi, pernah pada satu tahap mengumumkan penyesalan atas karya-karya terdahulunya. Sedangkan, karya-karya itulah yang menaikkan namanya sebagai seorang pengarang dan sasterawan. Tentulah ini sesuatu yang sangat ironis.

Dalam menanggapi ironi ini, persoalan asalnya masih belum berjawab: yang manakah sebenarnya akan kekal dalam jiwa khalayak, bentuknyakah atau maknanya; yang manakah akan menjadi ingatan sepanjang zaman, seninyakah atau isinya; yang manakah pula akan terus menerus hidup, keindahannyakah atau gagasannya?

Di Malaysia, hari ini, kalau berbicara tentang sastera, tentulah tidak lengkap tanpa menyebut nama Faisal Tehrani. Pengarang tersohor yang menjadi penanda aras mana-mana penulis muda itu sebenarnya mengalami perjalanan penulisan yang kurang lebih sama, yakni pada zaman awalnya, beliau cenderung bereksperimen dengan bentuk, malah pernah menghasilkan karya-karya yang boleh disifatkan sebagai underground.

Tetapi beliau kemudiannya menukar terus gagasan kepengarangannya, dan hari ini menjadi seorang pengarang yang sangat menitik beratkan makna sehingga adakalanya meminggirkan keindahan bentuk. Malah beliau pernah mengisytiharkan bahawa pengarang yang tidak menyatakan sikap -- yakni yang tidak menyampaikan propaganda dalam karya-karyanya adalah sia-sia. Berbeza dengan Tolstoy dan Shahnon, Faisal tampaknya malah semakin kukuh memasakkan namanya sebagai novelis ulung tanah air semenjak menghasilkan karya-karya yang mengutamakan makna, seperti novel-novel mutakhirnya termasuklah Tuhan Manusia, Saasatul Ibad, dan Sebongkah Batu di Kuala Berang berbanding ketika beliau menulis novel-novel awalnya yang mengutamakan bentuk seperti Musim Dingin Terakhir, Perempuan Politikus Melayu bahkan juga Tunggu Teduh Dulu.

Tetapi, tentunya masih terlalu awal untuk menentukan, kerana hanya waktu yang layak menghakimi sama ada Faisal Tehrani pada masa hadapan akan dikenang sebagai seorang senimankah melalui karya-karya bentuknya, atau akan dikenang sebagai seorang pemikir melalui karya-karya ilmunya.

Saya secara peribadi lebih suka mengambil jalan tengah. Saya tidak berminat membaca karya yang terlalu mementingkan makna sehingga meminggirkan aspek bentuk, kerana karya itu akan sangat kering dan tandus seni. Tetapi dalam masa yang sama saya juga tidak mahu karya yang hanya bermain-main dengan gaya tetapi nihil makna, kerana ia sama sahaja seperti cengkerang yang cantik dan indah tetapi kosong isi.

Kerana hakikatnya, bentuk dan makna dalam sesebuah karya seni tak mungkin dapat dinilai secara terpisah-pisah. Patah kata Gustave Flaubert, bentuk dan makna adalah seumpama kebersamaan tubuh dengan roh, yang satu tak mungkin hadir tanpa yang lagi satu. Seperti juga, barangkali, kata Sayyid Qutb -- ketika membicarakan tentang hakikat manusia -- bahawa jiwa dan raga tidak sepatutnya dilihat secara berasingan; segala-galanya adalah kebersatuan yang harus disorot secara kebersamaan yang harmonis.

Justeru keseimbangan antara kedua-duanya yang paling penting.



*Terbit dalam akhbar Mingguan Malaysia, 4 Disember 2011 dengan menggunakan tajuk Antara Bentuk dan Isi

7 comments:

Tetamu Istimewa said...

Salam ziarah. Tahniah! Saya telah baca artikel ini di Mingguan Malaysia. Suatu perkongsian yang menarik. Sudilah singgah ke blog saya.

Anonymous said...

Kalau stakat belajar kat ITM dan Unitar tak yah le nak berlagak...

Aidil Khalid said...

Sdr Tetamu Istimewa,

Salam kenal. =)


Sdr Anonymous,

Ya, saya setuju. Malah graduan dari mana-mana universiti sekalipun -- bukan tertakluk kepada UiTM dan Unitar sahaja -- memang tidak sepatutnya berlagak. Bak kata orang tua-tua, mari kita menjadi seperti padi yang semakin berisi semakin menunduk.

AG said...

Aidil,

Faisal pernah ada novel Musim Dingin Terakhir? Kenapa novel yang satu ini macam tak popular sangat?

Saya (pembaca biasa) hanya tahu yang dia menulis novel seperti Cinta Hari-Hari Rusuhan, Perempuan Politikus Melayu, Maaf dari Sorga, Rahsia Ummi sahaja di awal period kepengarannya.

Eh, mana nak cari Musim Dingin Terakhir? Teringin juga nak baca.

Aidil Khalid said...

AG,

Novel Musim Dingin Terakhir tidak begitu terkenal kerana untuk novel ini, Faisal menggunakan nama pena lain. Justeru ramai yang tidak tahu bahawa novel itu adalah novel Faisal Tehrani.

Memang sudah tidak ada lagi di pasaran. Kalau ada pun, perlu cari di kedai-kedai buku terpakai. Saya sendiri memang menemui senaskhah buku ini di kedai buku terpakai di Ipoh.

Tetamu Istimewa said...

Salam perkenalan juga kepada Saudara Aidil Khalid. Sudilah jengah ke blog saya untuk bertukar-tukar pendapat.

AG, saya juga tidak pernah mengetahui dan membaca novel Musim Dingin Terakhir. Adakah benar novel itu hasil karyanya? Apakah nama penanya? Tahun bilakah ia diterbitkan?

AG said...

Aidil,

Terima kasih atas makluman. Kalau nasib baik, agaknya dapatlah kot. Apapun, akan berusaha untuk mencari.
Saya suka membaca mengenai transisi gaya penulisan seseorang penulis.

Harap-harap tak kecewa.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP