Saturday, March 17, 2012

Cara Pandang Pengkarya Fiksyen

Kehidupan, patah kata Gabriel Marquez, bukanlah apa yang sebenar-benarnya dialami oleh seseorang dalam kehidupannya; sebaliknya kehidupan adalah bagaimana seseorang itu mengingati – atau menanggapi – apa-apa yang telah dilaluinya. Dalam sepotong ayat ringkas sebagai epigraf autobiografinya, beliau mengatakan bahawa: “Life is not what one lived, but what one remembers and how one remembers it in order to recount it.”

Justeru dalam kata lain, realiti tidak semestinya sama dengan bagaimana seseorang itu menanggapi realiti. Rumput di padang mungkin saja warnanya hijau, tapi andai dilihat menerusi kaca mata berlensa kuning, maka warna yang realitinya hijau itu mungkin saja terlihat biru.

Hal ini tentulah akan lebih signifikan bagi pengkarya fiksyen. Hakikatnya kehidupan yang diserlahkan dalam karya seringkali adalah refleksi terhadap bagaimana pengarang mengingati, atau boleh juga disebut menanggapi, kehidupan – dan ini tentu sekali tidak semestinya merefleksi realiti yang sebenar-benarnya.

Ambilkan sebagai misalan, bagaimana berbezanya pengarang seperti Harper Lee menerusi novel To Kill a Mockingbird, merefleksi kehidupan berbanding John Grisham menerusi novel-novelnya seperti The Last Juror, The Firm, atau The King of Torts. Kedua-dua pengarang ini – Harper Lee dan John Grisham – menulis tentang dunia yang sama, yakni undang-undang dan guaman, tetapi kedua-duanya memancarkan sudut atau cara pandang yang amat-amat berbeza – betapa jauhnya perbezaan mereka, bagai langit dengan bumi.

Membaca Harper Lee, adalah suatu pengalaman yang membangunkan naluri dan kesedaran jiwa – kerana undang-undang dipaparkan oleh beliau sebagai sebuah idealisme yang matlamatnya adalah keadilan yang maha tinggi, betapapun matlamat itu jarang-jarang tercapai. Menerusi sudut pandang watak utamanya, diskriminasi, prejudis, dan ketidakadilan dilukiskan sebagai kejahatan yang harus ditentang menerusi undang-undang, dan hal ini benar-benar diusahakan oleh watak-wataknya -- terutama watak Atticus, seorang peguam yang berusaha membela orang-orang teraniaya di mahkamah.

Hal ini berbeza dengan pengalaman kita apabila membaca John Grisham yang pada kebiasaannya dipenuhi unsur-unsur suspens yang mendebarkan. Pembaca akan disajikan dengan suatu sudut pandang yang amat sinikal, bahkan seringkali pesismistik terhadap dunia guaman khususnya dan juga kehidupan umumnya – kerana undang-undang tak lagi digambarkan secara hitam dan putih seperti yang digambarkan Harper Lee – sebaliknya dilukiskan lebih berwarna-warni, lebih rencam, dan lebih fleksibal. Justeru John Grisham menggambarkan undang-undang sebagai senjata yang matlamatnya, sungguhpun boleh jadi baik, tetapi dek kerana kerakusan manusia, maka lebih selalu dari tidak akan digunakan oleh pengamalnya untuk mencapai kejahatan bagi memuaskan keserakahan.

Untuk saya yang kebetulan berada dalam dunia guaman, saya merasakan cara pandang John Grisham lebih dekat dan akrab. Cara pandang Harper Lee terkesan sedikit naif. Dan hal ini saya katakan bukanlah tanpa justifikasi. Harper Lee adalah mahasiswi undang-undang yang tidak pernah tamat pengajiannya. Beliau tak pernah mengamal sebagai peguam, maka tak hairanlah apabila beliau masih dapat melihat undang-undang melalui sudut pandang yang bersih dan melihatnya sebagai bidang suci dengan matlamat tinggi untuk keadilan. Sedangkan John Grisham, seperti sedia dimaklumi, bukan sahaja mantan peguam, bahkan beliau menulis novel pertamanya ketika masih beramal dalam dunia undang-undang. Justeru nada pesimistiknya adalah refleksi tepat bagaimana beliau melihat dunianya.

Tetapi ini tidaklah pula bermaksud saya memilih karya John Grisham ketimbang Harper Lee. Tidak, bukan begitu. Bahkan saya secara peribadi sebenarnya lebih menggemari Harper Lee – betapapun naif cara pandangnya – dan meletakkan novelnya sebagai antara novel terbaik yang pernah saya baca dalam kehidupan saya setakat ini. Kerana fiksyen, tujuannya bukanlah untuk menyatakan realiti (walaupun ditulis dengan teknik atau aliran realisme sekalipun), sebaliknya tujuannya yang lebih penting adalah untuk mengisi ruang-ruang kosong yang menjadi kelompongan realiti kehidupan. Agar pembaca kemudiannya dapat menanggapi kehidupan melalui cara pandang yang lebih bermakna. Dan ini, menurut saya, saya dapati dengan membaca Harper Lee ketimbang John Grisham.

2 comments:

Tetamu Istimewa said...

Saya dah baca cerpen Republik P-a-g-e
sangat menarik.

Aidil Khalid said...

Sdr Tetamu Istimewa,

Terima kasih ya. =)

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP