Saturday, March 31, 2012

Menemui Sasterawan Besar

“Dato tak berapa sihat,” kata isteri kepada sasterawan negara kita yang kedua, Dato’ Dr Shahnon Ahmad, ketika Ainunl Muaiyanah menelefon bagi mengaturkan janji temu. “Dia selalu cepat penat dan kalau bercakap perlu kuat-kuat sebab dia tak berapa nak dengar,” tambah Datin Wan Fatimah lagi.

Saya ke Pulau Pinang dengan Wan Nor Azriq dan Ainunl Muaiyanah baru-baru ini, selain jalan-jalan makan angin empat hari tiga malam, juga bagi bertemu menziarahi Shahnon Ahmad (seterusnya Cikgu Shahnon) di kediamannya di Gelugor.

Kami telah merancang perjalanan ini agak lama juga, terutamanya Azriq, kerana menurutnya, di antara kesebelas-sebelas orang sasterawan negara, Cikgu Shahnon adalah kegemarannya, selain Anwar Ridhwan. Keragaman dan kerencaman bahasa Cikgu Shahnon menjadi asas kekaguman Azriq. Pun, buat saya sendiri, saya harus berjujur bahawa saya sebetulnya ‘tidak dapat masuk sepenuhnya’ dengan gaya bahasa Cikgu Shahnon yang dipenuhi dengan pengulangan yang disengajakan -- katanya atas alasan estetika -- sehingga membuatkan saya sering saja jenuh dalam rimbunan kata-katanya; walaupun dalam masa yang sama perlu juga diakui bahawa novelnya seperti Ranjau Sepanjang Jalan dan Tivi serta cerpennya seperti Lagu Kitkitkit sedikit sebanyak memberikan inspirasi buat saya.

“Keadaan beliau sudah uzur, umurnya pun sudah tua, macam mana pun kita kena usahakan jumpa dengan beliau. Sekali pun jadi lah,” begitu kata Azriq beberapa kali kepada saya -- seingat saya sedari tahun 2009 lagi. Justeru, alhamdulillah, akhirnya perancangan kami jadi kenyataan minggu lalu.

Seperti janji temu yang direncanakan, kami sampai di perkarangan rumah beliau, kira-kira jam 10.30 pagi; hari Ahad; 25 Mac 2012, dan disambut mesra oleh Datin Wan Fatimah serta anak lelaki beliau. Sebaik-baik sahaja sampai, kami langsung ditunjukkan ke bilik Cikgu Shahnon.

“Saya tunggu kamu semua minggu lepas,” kata Cikgu Shahnon yang berkemeja petak-petak berwarna biru dengan kain pelekat biru muda selepas kami masing-masing memperkenalkan diri. Ternyata isterinya tersalah tarikh memberitahu akan hasrat kami untuk berkunjung – sehingga beliau menyangka minggu sebelumnya.

Kami duduk dan berbual. Cikgu Shahnon di katilnya, sedang saya, Azriq dan Ainunl menarik kerusi menghadap beliau. Topik bicara tentunya seputar sastera dan penulisan, selain sesekali beliau menceritakan keadaan kesihatannya. Dalam pada begitu banyak perkara yang ingin kami tanyakan, kami cuba seupaya daya memendekkan perbualan, memandangkan kami sedar bahawa keadaan kesihatan Cikgu Shahnon akan membuatkan beliau cepat penat. Tetapi ternyata Cikgu Shahnon begitu bertenaga apabila kami menanyakan tentang manuskripnya yang masih belum terbit sehingga membuatkan beliau, dalam keadaan fizikalnya yang serba lemah itu, sampai-sampai bangkit dari katilnya dan bangun berjalan ke arah rak di mana beliau menyimpan manuskrip tersebut.

Beliau menunjukkan dua buah manuskrip yang telah siap ditaip dan dijilid dengan kulit keras berwarna merah, tetapi belum diterbitkan. Yang satu diberi tajuk Kami Masih Ingat Lagi; dan yang lagi satu ZioDir.

ZioDir sudah pernah dihantar kepada penerbit 'cap menara',” begitu kata Cikgu Shahnon kepada kami, “tetapi ditolak kerana mereka kata isinya terlalu sensitif.”

Beliau turut menceritakan tentang proses kepengarangan; mengapa dan bagaimana beliau terus sahaja dapat tekal mengarang sehingga ke usia sekarang.

Tidak dapat tidak, beliau memang perlu mengarang, setiap hari, tanpa henti, begitulah kira-kira katanya. Kerana andai beliau tidak mengarang, beliau akan jadi tidak senang duduk, akan jadi pening kepala, dan akan jadi tidak menentu. Tetapi, dalam masa yang sama, begitulah kira-kira tambah beliau lagi, apabila mula menulis, beliau akan segera pula cepat penat dan letih dan rengsa dan lesu, kerana keadaan tubuhnya yang selalu tidak mengizinkan beliau bergagah seperti di zaman muda-muda dahulu.

Hal ini juga ditashihkan oleh isteri beliau.

“Waktu Dato masuk ICU pun begitu juga,” kata isterinya sewaktu kami dijamu dengan hidangan ringan. Kami waktu itu sudah pun mohon pamitan dari Cikgu Shahnon agar beliau dapat meneruskan rehat di dalam biliknya sedang kami ke ruang makan. “Malah para jururawat pun sudah tahu. Beliau akan jadi pening kalau tak menulis. Jadi nurse suruh dia menulis dan luahkan apa-apa, supaya dapat jadi lebih tenang,” tambah isterinya lagi.

Kami meninggalkan rumah beliau sedikit ke tengah hari, dalam keadaan kata-kata Cikgu Shahnon masih terngiang-ngiang – untuk saya sekurang-sekurangnya – apabila beliau meninggalkan pesan, yang mana pesanan ini diulangnya sebanyak dua kali, agar kalau dapat diusahakanlah untuk novelnya Tivi diulang cetak kembali oleh mana-mana penerbit.

“Novel Tivi ini bagus,” begitu katanya sambil memandang kepada Ainunl yang kebetulan merupakan editor di ITBM, “mesejnya Islamik. Kalau boleh diusahakanlah agar dapat diulang cetak supaya khalayak dapat membacanya semula.”

Kembali di dalam kereta dan dalam perjalanan pulang ke penginapan, saya berkata kepada Azriq dan Ainunl: “Walaupun saya bukan pengkagum tulisan-tulisan Shahnon seperti Azriq, tetapi pertemuan hari ini memberikan satu kesan dan impak besar kepada saya. Bahawa beliau, selain seorang sasterawan besar, adalah seniman tulen. Kerana beliau berkarya bukan semata-mata untuk menghasilkan atau untuk melihat karyanya terbit, sebaliknya beliau berkarya kerana beliau tidak boleh tidak; beliau berkarya kerana desakan mesti berkarya; beliau berkarya kerana karya itu sudah sedia ada di dalam dirinya dan menunggu untuk diluahkan.”

Beliau berkarya kerana itu adalah nafas dan degup jantungnya. Begitulah, menurut saya, seorang seniman tulen.


* * * * *

P/S: Gambar-gambar perjalanan ke Pulau Pinang dan seterusnya ke Alor Star boleh dicapai di sini.

3 comments:

Tetamu Istimewa said...

Saya juga mengagumi karya-karya Shahnon Ahmad. Walaupun kata saudara teknik perulangannya kadang-kadang membosankan tetapi itulah kelebihan yang ada padanya. Moga Allah memberi kesihatan yang baik kepadanya.

hanaahmad said...

Saya cukup terkesan membaca Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad. Bertuahnya dapat bertemu dengannya. Moga beliau terus berkarya dan diberikan kesihatan yang baik.

Jika ke Pulau Pinang, kedai buku Chowrasta pasti menjadi lokasi wajib kan?

mohd raslan said...

TIVI masih saya cari. Bertahun-tahun.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP