Tuesday, May 22, 2012

Dialog Orang Muda: Sikap Defensif Ketua Editor DBP

1. Saya menjangkakah majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan semakin terasing daripada anak-anak muda yang mencintai sastera. Bahkan sekarang pun penerbitan DBP sememangnya sudah menjadi semacam dinosor – pupus dan hanya tinggal rangka untuk dilihat di muzium – dan setelah melihat sendiri betapa sikap ketua editor bahagian majalah DBP, Puan Padilah Hj. Ali, yang begitu tertutup dalam menerima kritikan dan pandangan daripada orang luar, saya kira bahkan rangkanya pun tak akan tertinggal lagi untuk dilihat di muzium, sebaliknya akan punah dan hancur dan langsung lebur.

2. Maafkan saya andai kenyataan di atas terlalu celupar, tetapi saya percaya bahawa siapa-siapa sahaja yang menjabat jawatan awam – holding a public post – harus dan berkewajipan untuk bersikap terbuka kepada sebarang kritikan daripada masyarakat awam. Masyarakat awam sebagai pembayar cukai – yang mana melalui duit para pembayar cukai inilah gaji para penjabat awam dibayar; dan dari duit para pembayar cukai ini jugalah majalah-majalah dinosor DBP diterbitkan – adalah berhak untuk memberikan pandangan dan cadangan bahkan kritikan terhadap apa-apa yang dirasakan tidak betul.

3. Justeru pada 20 Mei 2012 yang lalu apabila melangkah ke Rumah Pena bagi menghadiri Dialog Orang Muda: Penulis dan Editor Sastera, saya sebagai salah seorang pembayar cukai telah melangkah dalam keadaan sedar bahawa ada banyak perkara yang perlu disuarakan berkenaan majalah-majalah terbitan DBP.

4. Panel jemputan bagi Dialog Orang Muda (DOM) kali ini, selain Puan Padilah Hj Ali, ialah Puan Salbiah Ani, yang merupakan Editor Sastera Berita Harian. Sementara itu Saudara Lutfi Ishak pula bertindak sebagai pengerusi dialog. 

5. Dialog dimulakan dengan tuan pengerusi bertanyakan kepada Puan Padilah Hj. Ali, apakah kriteria bagi menilai sesuatu karya dipilih dan disiarkan dalam majalah-majalah terbitan DBP. Saya mengerutkan dahi apabila mendengar jawapan beliau: bahawa sesuatu karya itu akan dikira bagus sekiranya memenangi hadiah sastera. 

6. Saya kira ini adalah mentaliti yang sesat lagi menyesatkan – dan saya hampir-hampir tak percaya bagaimana individu dengan mentaliti singkat seperti ini boleh menjawat jawatan ketua editor di DBP. Sekiranya kemenangan dalam hadiah sastera adalah kriteria bagi menilai sesebuah karya itu bermutu ataupun tidak, maka magnum opus Pramoedya Ananta Toer, Bumi Manusia, tidak akan pernah layak dianggap berkualiti kerana tidak memenangi sebarang hadiah bahkan diharamkan pula oleh pemerintah; begitu juga novel Gerhana karya Pak Samad Said (yang kemudiannya ditukar tajuk menjadi Salina) adalah tidak berkualiti kerana hanya memenangi hadiah saguhati dan tidak memenangi hadiah utama – tetapi hakikatnya tentu sekali tidak semudah itu, kerana Bumi Manusia yang pernah diharamkan pemerintah di awal penerbitannya dahulu malah semakin berleluasa dibaca pada hari ini; novel Salina yang tidak menang hadiah utama bahkan kekal dibaca sedangkan novel-novel yang ‘mengalahkannya’ dahulu sudah hampir-hampir dilupakan orang pada hari ini. 

7. Puan Padilah Hj. Ali seterusnya menghuraikan pula bagaimana setelah menyenarai pendekkan pemilihan karya untuk diterbitkan, mereka akan menilai pula latar-belakang para pengkarya tersebut – berapakah umurnya, sama ada masih muda atau sudah mapan, berapa banyak karya yang sudah dihasilkan, sudahkah memenangi sebarang sayembara, dan lain-lain lagi – bagi menentukan penerbitan mana yang layak diterbitkan, sama ada ke Dewan Sastera atau ke Tunas Cipta atau lain-lain penerbitan lagi. 

8. Setelah selesai Puan Padilah Hj. Ali berceloteh panjang tentang betapa “gah dan hebatnya” majalah-majalah dinosor terbitan DBP, tuan pengerusi mengajukan pula persoalan kepada Puan Salbiah Ani mengenai kriteria pemilihan karya di dalam ruangan sastera Berita Minggu. Saya tidak mahu mengulas panjang berkenaan komentar Puan Salbiah Ani, kerana Berita Harian sebagai syarikat penerbitan swasta, tentu sekali memiliki misi dan visi yang berbeza – pendekatannya juga tidak boleh disamakan dengan DBP yang dibiayai wang pembayar cukai – kerana Berita Harian perlu memfokuskan kepada jumlah pembaca agar dapat menarik lebih banyak iklan sebagai sumber keuntungan. 

 9. Apabila tuan pengerusi membuka ruang kepada khalayak untuk bertanya atau memberi komentar pandangan, Tuan Zainal Rashid bangkit dan mempersoalkan tentang bagaimana sepuluh tahun kebelakangan ini, iaitu kira-kira semenjak tahun 2000 ke atas, penulis-penulis berwibawa sudah sukar ditemui lahir dari penerbitan DBP. Bahkan untuk mendapatkan karya-karya yang bermutu, beliau terpaksa mencarinya di majlis-majlis indie. Zaman kegemilangan ketika mana DBP melahirkan kelompok penulis berwibawa seperti Zaen Kasturi, Marsli NO, Faisal Tehrani dan sebagainya sudah berakhir. 

10. Saya kemudiannya turut bangkit dan cuba untuk menyuarakan beberapa ironi dan kelemahan DBP. Saya menyatakan bahawa adalah tidak adil untuk pihak editorial DBP mengambil kira latar belakang seseorang penulis itu – seperti umurnya yang muda, atau hakikat bahawa dia belum memenangi sebarang sayembara – dan menjadikannya sebagai alasan untuk menolak daripada menerbitkan karyanya. Saya menyatakan bahawa sesebuah karya itu sepatutnya dinilai secara objektif, dan melihat semata-mata kepada karya tersebut dan mutunya, tanpa perlu mengambil kira sama ada yang mengirimkan karya tersebut adalah pengarang yang sudah ada nama ataupun tidak. Saya kira inilah kelemahan utama pihak editorial DBP – kerana tanpa sedar, yang dinilai oleh mereka sebenarnya bukanlah karya, sebaliknya nama. 

 10.1. Seterusnya saya turut menyatakan bahawa DBP memerlukan tim editorial yang lebih celik sastera – yang mengetahui apakah yang berlaku dalam dunia sastera, dan tidak sekadar tinggal dalam kepompong menara DBP semata-mata. Mereka perlu hadir dan mengikuti program-program – anjuran badan mana sekalipun – agar sedar dan tahu apa-apa yang berlaku di sekeliling, serta celik kepada apa yang diperkatakan orang. 

 11. Kritikan saya itu kemudiannya dijawab oleh Puan Padilah Hj. Ali dengan menyatakan bahawa sememangnya mereka menilai semata-mata kepada mutu karya, tetapi dalam masa yang sama latar belakang penulis tetap perlu dilihat. Hal ini kerana andai seseorang itu adalah penulis baharu, atau sekiranya dia belum pernah memenangi sebarang sayembara, betapapun baik karya yang dihasilkannya, ia tetap tidak boleh diterbitkan di dalam Dewan Sastera. “Kalau seseorang penulis itu penulis baharu yang tidak dikenali lagi, betapa pun baik hasil karya itu, lalu dihantar ke Dewan Sastera, kemudian Dewan Sastera terbitkan, adakah kamu semua penulis-penulis ini tidak akan marah?” begitu Puan Padilah Hj. Ali melemparkan pertanyaan kepada para hadirin sekalian.

12. Saya menggeleng-geleng kepala mendengar jawapan dan lemparan pertanyaan yang bagi saya sungguh ignoran dan arogan daripada seorang ketua editor DBP. Duhai, bagaimanakah DBP boleh melantik seseorang yang seperti ini menjadi ketua editornya? Orang-orang seperti ini bagi saya selayaknya diberikan pencen awal dan disuruh duduk diam-diam di rumah untuk menonton drama-drama televisyen berjam-jam sahaja sepanjang hari. 

13. Saya terpaksa bangun sekali lagi bagi menjawab persoalan yang berbangkit tersebut. Pertamanya saya mengatakan alangkah ironinya apabila Puan Padilah Hj. Ali menyatakan bahawa mereka menilai “semata-mata mutu karya” tetapi kemudianya dalam masa yang sama mengatakan pula mereka juga terpaksa melihat kepada “latar belakang penulis”. Seterusnya bagi menjawab lemparan pertanyaan arogan beliau tadi, saya menyatakan bahawa saya tidak merasakan akan ada siapa-siapa di kalangan kelompok penulis yang akan mempersoalkan sekiranya Dewan Sastera menyiarkan karya penulis yang pertama kali menulis, sekiranya mutu karyanya baik. Bahkan banyak karya-karya yang kemudiannya dianggap penting, lahir daripada penulis pemula yang pertama kali menulis. Laskar Pelangi misalnya adalah karya pertama Andrea Hirata, tetapi kemudiannya meletop-letop dalam arena sastera, bukan sahaja di Indonesia dan Malaysia, bahkan diterjemahkan pula ke bahasa Inggeris; To Kill a Mockingbird adalah karya pertama dan satu-satunya karya yang ditulis oleh Harper Lee, tetapi novel itu dianggap antara karya penting kesusasteraan Inggeris; atau yang lebih dekat dengan kita, Salina adalah novel yang ditulis pertama kali oleh A. Samad Said pada usianya yang sangat muda, iaitu 23 tahun, tetapi dianggap sebagai novel penting abad ke 20. 

14. Seterusnya bagi menjawab persoalan usia – kerana tadi dikatakan andai seseorang pengarang itu masih muda, betapapun karyanya baik dan bermutu tinggi, tetap tidak boleh diterbitkan di Dewan Sastera – saya memberikan contoh Chairil Anwar, penyair yang juga mati muda pada usia 27 itu. Saya melemparkan pertanyaan dalam bentuk tamsilan: andai saja Chairil Anwar menulis pada usianya yang muda itu, dan mengirimkannya ke Dewan Sastera, apakah Dewan Sastera akan menolak daripada menerbitkannya, atas alasan usianya masih muda ketika mengirimkan karya-karya tersebut? 

15. Saya mencapai kata putus ini daripada Dialog Orang Muda pada 20 Mei 2012 tempoh hari: bahawa selagi DBP tidak memberikan pencel awal kepada orang-orang seperti Puan Padilah Hj. Ali, selagi itulah DBP akan menjadi dinosor kepada generasi penulis muda. Mujur saja sekarang ini selain DBP, sudah ada ITBM yang saya kira lebih banyak memainkan peranan dalam menyediakan lapangan yang subur untuk para penggiat sastera tanah air. 

16. Dan oh, sekiranya ada sesiapa yang merasakan tulisan saya kali ini keterlaluan, saya persilakan dan menunggu writ saman daripada anda. =)



*Foto milik Rebecca Ilham

33 comments:

Anonymous said...

1)

Jika benar semua kata-kata Puan Padilah dan kita ambil kata-katanya itu sebagai parameter bagaimana mahu karya tersiar di Dewan Sastera, saya tertanya-tanya bagaimana mantan editornya boleh tampil dengan antologi cerpen terbitan ITBM yang saya diberitahu ada sebahagiannya pernah terbit di Dewan Sastera menggunakan nama lain. Persoalan yang menarik untuk dilihat.

2)
Apa yang lebih saya fahami, satu daripada kriteria tersiarnya karya di Dewan Sastera itu adalah "editornya mengenali siapa penulis itu" tidak kiralah dia pernah menang hadiah sastera atau tidak, penulis baru atau lama.

Dan Aidil, tahniah untuk tulisan ini. Saya sangat bersetuju dengan anda.

putrifarish87 said...

Dear Aidil : Setuju dengan komen anda. DBP Sabah turut emngalami masalah yang sama. Saya, pelajar UMS menghantar berkali-kali karya dan tulisan by hand pada DBP. Tetapi tidak berjaya.Pensyarah saya bagitahu, buang masa Mastika. Tak payah hantar pg DBP lagi. aduh,aduh, aduh. Tylisan anda ini wajar di siarkan dalam media arus perdana. Saya sokong :-)

Anonymous said...

Salam Tuan Aidil.

Saya turut menggeleng-geleng apabila membaca tentang kriteria yang diberikan oleh Ketua Editor DBP. Sekiranya begitu, bagaimana penulis yang tidak kenal sesiapa di DBP, yang tidak pernah menang anugerah Sastera mahu menonjolkan bakatnya.
Kata-kata tersebut memang tidak wajar terbit daripada seorang ketua editor.

Riza

Anonymous said...

Apalagi saudara Aidil, tulislah satu cerpen berkenaannya.

Peminat

Hafizul Osman said...

Aidil,

Saya bersetuju dengan keterangan awak. Setuju sangat-sangat. Cuma, ada masa kita kena berfikiran positif. Saya tahu agak sukar untuk menghantar karya dan menembusi Dewan Sastera. Namun, perlu diingat, DBP juga memiliki majalah-majalah lain seperti Tunas Cipta, Dewan Siswa dan juga Dewan Kosmik (bagi menghantar karya sains fiksyen). Jika tidak pun, kita masih juga boleh mencuba di majalah-majalah terbitan syarikat swasta seperti Karangkraf, Utusan dan Galeri Ilmu. Bagi penulis pemula, elok juga kiranya kita bermula dengan majalah yang biasa-biasa dulu kerana bagi saya, 'mereka-mereka' di 'kayangan' sana lebih gemar karya-karya penulis ternama berbanding penulis tak ada nama. :)

Anonymous said...

Salam Aidil,

Saya belum membaca keseluruhan pandangan saudara. Tetapi ingin saya katakan, adalah tidak adil mungkin untuk mengatakan majalah yang sedaya upaya ditangani Pn. Padilah sebagai dnasour, kerana mmg ada perubahan-perubahan agresif yang beliau sudah lakukan, sepertimana yang beliau nyatakan, malah beliau sendiri sudah menyatakan "akan menerima pandangan luar" lebih-lebih lagi pada pagi itu. Pandangan utama beliau perlu diambil kita juga (berkenaan bilangan langganan) apabila berlaku "hearsay", tak ramai yang tahu perubahan-perubahan yang berlaku dan mmg senang untuk "memukul rata", tetapi adakah seseorang benar-benar melihat perkembangan majalah tersebut? Bagi saya, Pn Padilah sudah menjernihkan persoalannya.

epitjack said...

Selain karya susah nak menembusi kriteria dewan sastera (atau majalah keluaran DBP yang lain), saya sebagai pembaca pula susah nak dapat majalah keluaran DBP seperti dewan sastera, tunas cipta dan dll samada di kedai buku mainstream atau kedai majalah biasa. malah di perpustakaan awam tempat saya ni pun tak ada majalah DBP keluaran terbaru. Disebabkan masalah Dawama tu dan menurut pekerja Dawama yg saya tanya mengatakan sudah ada syarikat lain yg ambil alih penerbitan majalah keluaran DBP, tapi kami yang jauh dari KL ni masih tak dapat atau tak sampai majalah keluaran DBP kekawasan Ipoh ni..

Anonymous said...

Saya berharap kehadiran sdr. Fadli di DS bakal merubah pendirian orang lama di sana.

Anonymous said...

Maka, baiklah kiranya tuan menggantikan jawatan beliau :)

Anonymous said...

itu sebenarnya agenda korang... lahai adik-adik yang gila glamor, kesian...

Anonymous said...

tidakkah bila saudara fadli menjadi editor, isu kronisma akan berakhir? tidakkah nti kwn2 fadli akan menakluki DS pula??? mana3 pun ttp sama. tiada siapa yang telus. kecuali org yang bebar2 bertanggungjawab dan tahu amanah yang Allah beri. itulah orng muda. hanya tahu marah2. jiwa jiwa tidak didik sastera sedari kecil lahirlah manusia seperti ini. tepuk dada tnya selera.

Hafizul Osman said...

Kepada Encik/Puan/Cik Anonymous,

Anda yakin saudara Fadli akan mengamalkan kronisma dalam pemilihan karya? Anda sudah rapat dengan dirinya? Mungkin benar, mungkin juga salah tapi jangan pula saudara/saudari menuduh sebarangan.Bagaikan baling batu, sorok tangan pula saudara/saudari ni.

Anonymous said...

Bukan mudah memegang jawatan ketua editor bagi 10 malajah dan 3 jurnal. Banyak hal yang perlu dilihat dan dijaga. Agaknya Aidil belum dapat menembusi Dewan sastera sampai sanggup mengeluarkan kata-kata tanpa berfikir. Berusahlah lebih sikit dan hasilkan lebih banyak karya yang bermutu dan diangkat oleh orang ramai tentang kebagusannya. Cakap-cakap ini tidak membuktikan aidil tu siapa pun. Kasiah saya pada ndak. Berusahalah lagi. Faizal tehrani, Zaen Kasturi pun berusaha dan tidak pernah putus asa. Anda masih muda. Buang takbur dan angkuh ke tepi, insya-Allah, pekerti mulia itulah yang dituntut dalam Islam.

rozais al-anamy said...

Assalam saudara Aidil,
Berpandukan tulisan saudara, saya sangat kesal dengan komen yang diberikan Ketua Editor (jika benar beliau bermaksud begitu kerana saya tidak hadir dalam majlis itu).

Pandangan saudara sangat benar dalam hal tersebut, jika itulah ulasannya seputar pemilihan karya, saya fikir dunia sastera hanya akan berkuak dalam reban sendiri, jika pengkarya yang menjadi kayu ukur pemilihan. Bagi saya "dengarlah apa yang dikata, bukan orang yang berkata" sebagaimana kata-kata Saidina Ali. Begitu jugalah karya, mutu karya terletak pada karya itu sendiri, bukan pengkarya secara total.

Namun, saya fikir dalam menyampaikan luahan saudara, lembutkanlah sedikit penyampaiannya kerana bimbang ramai yang menilai kemarahan saudara berbanding kebenaran yang saudara ingin apungkan.

Akhirnya, tahniah kerana berani berkata benar walaupun ia pahit.

Salam sastera,
Rozais al-Anamy

Anonymous said...

Balik menulislah semuanya... Tuduh-tuduh macam ni...Gaduh-gaduh. Bincanglah elok-elok. Kata penulis mengangkat kemanusiaan. Jangan jadi pembohong besar dalam karya, menulis yang baik-baik, tapi hati masing-masing, tak tahu nak cakap apa. Macam mana nak didik masyarakat macam ni? Dahlah dunia sastera orang tak mahu pandang. Nak kecilkan lagi maruahnya yang memang sedia kecil di mata masyarakat? Esok-esok tak ada siapa nak baca buku sebab buku pun banyak tak guna. Penulis cakap tak serupa bikin. Malulah sikit... (Nama Anonymous dipilih, bukan sebab takut. Sebab tahu, siapalah nak dengar kalau orang kecil utarakan pendapat. Lagi buat sakit kepala.)

Anonymous said...

Aidil Khalid dah cukup hebat di mata penulis muda. Tak perlulah orang cakap dia nak naikkan nama sendiri.
Tahniah Aidil! Kamu cukup berani.
Orang-orang yang mahu jaga periuk nasi di DBP memang tidak akan setuju dengan kamu. Ini masalah masyarakat kita. Selesa di bawah sesuatu naungan. Tidak mahu keluar kotak. Sanggup telan kepalsuan berbanding kebenaran. Nak mengajar masyarakat macam mana begini?

Anonymous said...

Maaf berbicara,

Majalah2 keluaran DBP pada masa ini hanyalah dalam status 'pandang sebelah mata'.Hambar dan tiada selera untuk menarik pembaca2 baru,terutama buat mereka yang baru belajar bertatih dalam dunia sastera.
Penjualannya saya kira agak bernasib baik di sekitar Kuala Lumpur,dengan adanya majlis2 seperti yang kalian anjurkan,sekurang2nya nama majalah DBP terpacul diruang udara.
Bandingkan pula dgn pekan2 kecil yg mana majlis2 begini tiada dianjurkan,hah..memang tak siapa yg sudi mencari majalah terbitan DBP.Kalau pun ada,majalah dewan siswa sebagai rujukan utk subjek BM.Habis exam,majalah dewan diletakkan bersama2 surat khabar lama.
Wahai orang dewan,tidak kah kalian ingin menguabah senario sastera di Malaysia?
Apa sebenarnya peranan kalian?Yang nampak sedikit gah mungkin di bahagian buku teks sekolah,yang lain2?Hidup segan mati tak mahu?
Sedarilah bahawa majalah kalian bukan majalah favourite utk dicari setiap bulan.
Buatlah sesuatu wahai DBP.Anjakan paradigma itu perlu.
Jangan nanti jadi bahan sejarah,bangunan gah melangit,namun sumbangan pada masyarakat tiada.
DBP mungkin boleh hidup utk 20 tahun lagi,namun utk apa hidup kalau sekadar nadi yang bedenyut namun jasad terbujur kaku?
Fikir-fikirkan..dan buat Ketua Editor,Puan Padilah,masa Puan utk duduk dikerusi empuk mungkin patut dikaji semula.Sudah tiba masanya beri laluan dan peluang utk penulis muda berkarya.Mereka mungkin tiada nama dan belum pernah menang hadiah sayembara,maka org hebat seperti Puan lah yg perlu membimbing mereka,memberi peluang dan ruang utk mereka melahirkan idea.
Sekiranya Puan padilah beranggap bahawa majalah dewan terlalu berprestij hingga tiada tempat utk penulis muda,saya adalah diantara yang kecewa.Tidak keterlaluan kalau saya katakan,Puan Padilah adalah 'pembunuh senyap' utk majalah dewan itu sendiri.
Sudah tiba masanya utk menilai dengan minda yang terbuka?

Anonymous said...

Maaf berbicara,

Majalah2 keluaran DBP pada masa ini hanyalah dalam status 'pandang sebelah mata'.Hambar dan tiada selera untuk menarik pembaca2 baru,terutama buat mereka yang baru belajar bertatih dalam dunia sastera.
Penjualannya saya kira agak bernasib baik di sekitar Kuala Lumpur,dengan adanya majlis2 seperti yang kalian anjurkan,sekurang2nya nama majalah DBP terpacul diruang udara.
Bandingkan pula dgn pekan2 kecil yg mana majlis2 begini tiada dianjurkan,hah..memang tak siapa yg sudi mencari majalah terbitan DBP.Kalau pun ada,majalah dewan siswa sebagai rujukan utk subjek BM.Habis exam,majalah dewan diletakkan bersama2 surat khabar lama.
Wahai orang dewan,tidak kah kalian ingin menguabah senario sastera di Malaysia?
Apa sebenarnya peranan kalian?Yang nampak sedikit gah mungkin di bahagian buku teks sekolah,yang lain2?Hidup segan mati tak mahu?
Sedarilah bahawa majalah kalian bukan majalah favourite utk dicari setiap bulan.
Buatlah sesuatu wahai DBP.Anjakan paradigma itu perlu.
Jangan nanti jadi bahan sejarah,bangunan gah melangit,namun sumbangan pada masyarakat tiada.
DBP mungkin boleh hidup utk 20 tahun lagi,namun utk apa hidup kalau sekadar nadi yang bedenyut namun jasad terbujur kaku?
Fikir-fikirkan..dan buat Ketua Editor,Puan Padilah,masa Puan utk duduk dikerusi empuk mungkin patut dikaji semula.Sudah tiba masanya beri laluan dan peluang utk penulis muda berkarya.Mereka mungkin tiada nama dan belum pernah menang hadiah sayembara,maka org hebat seperti Puan lah yg perlu membimbing mereka,memberi peluang dan ruang utk mereka melahirkan idea.
Sekiranya Puan padilah beranggap bahawa majalah dewan terlalu berprestij hingga tiada tempat utk penulis muda,saya adalah diantara yang kecewa.Tidak keterlaluan kalau saya katakan,Puan Padilah adalah 'pembunuh senyap' utk majalah dewan itu sendiri.
Sudah tiba masanya utk menilai dengan minda yang terbuka?

Anonymous said...

Salam,

Dari segala hujahan entri dan rakan2 yang mengirim komentar, muncul pula andaian2/prasangka2 lain.

1. Adakah karya-karya yang diterbitkan di dalam Dewan Sastera itu benar2 tidak bagus semuanya?

Jika benar karya2 itu tidak bagus, kenapa tidak dianalisis dan dikritik karya tersebut? Kirim sahaja kritikan itu ke DSastera, sudah pasti ada relevannya untuk diterbitkan.

2. Adakah penulis yang tidak pernah memenangi apa2 hadiah sastera tetapi karya2nya terbit di dalam DSastera mempunyai "hubungan baik" dengan editor? Apakah asas andaian sedemikian rupa?

3. Bolehkah entri ini dikaitkan/dirujuk dengan tulisan reaksi "hutang budi dibawa mati" dalam DSastera 3 bulan lalu? (tentang hubungan editor dan penulis)?

4. Adakah SN dan sasterawan senior yang menulis dan menghasilkan karya di DSastera itu tidak seharusnya mendapat tempat sedangkan ruang yang diberi adalah bersandarkan karya-karya mereka yang memang ternyata besar dan dibaca dengan rasa hormat?

5. Berapa lamakah sesuatu karya penulis itu dapat muncul di DSastera? Kalau menunggu 5 tahun dan karya-karya masih tidak diterima di DSastera, bagaimana orang yang menulis, mengirim dan menunggu selama 15 tahun untuk melihat karyanya muncul pertama kali di DSastera?

6. Siapakah yang akan menerima/menilai/menyaring karya untuk DSastera? Adakah Ketua Editor atau Editor DSastera sendiri?

7. Jika ada tanggapan bahawa Ketua Editor dan mantan editor DSastera itu mempunyai kecenderungan "hubungan baik" dengan pengarang tertentu, adakah Editor DSastera yang baharu berkemungkinanan tunuk tidak mempunyai kecenderungan "hubungan baik" yang tertentu juga?

Dan seribu satu andaian lagi akan muncul apabila lebuh raya yang terbina tidak menuju ke lorong atau denai kampung halaman kita. Ini perkara biasa.

Sesiapa sahaja juga boleh menulis, baik di DSastera atau di blog sendiri, dan masing-masing ada andaian masing-masing.

Jawaban yang benar, tidak tahu di mana. Tetapi, bukankah setelah ini adalah lebih baik kita lebih banyak membaca dan menulis lagi?

Ya, menulis dan lebih banyak membaca.

Salam hormat,
ubi

Anonymous said...

Teguran saudara Aidil ini mudah, iaitu mengapa editor dewan mempunyai menghabiskan masa memeriksa latar penulis, anugerah penulis, umur penulis, lebih daripada mutu karya penulis?

Kalau mutu karya sudah baik, bagus, pergi mampuslah dengan 'siapa penulis itu', siarkan sahaja karyanya.

Yang membela DBP pula, tidak perlu serang peribadi saudara Aidil, kata dia emosilah, kata besar kepala, heiiii... berilah hujah yang punya fakta. Setakat hujah besar kepala, penulis muda darah panas, itu bukan hujah.

Hancurlah sastera kalau begini. Hancurrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrr

komeng

Anonymous said...

Assalamualaikum wr. wbt.

Pernyataan Puan Padilah adalah hujah beliau. Itu justifikasi beliau bersandarkan jawatan yang dipegangnya (adakah ini juga pegangan Editor Dewan Sastera sendiri?). Mungkin juga justifikasi itu datang dengan pandangan personal beliau sendiri.

Hujahan Aidil juga ada alasannya. Itu pandangan Aidil, dan beliau berhak menyanggah pernyataan Puan Padilah. Mungkin juga pernyataan Aidil bersifat umum kepada semua majalah DBP atau dipersoalkan khusus kepada Dewan Sastera sahaja.

Pandangan orang lain tentang Aidil dan Puan Padilah (DBP?) juga adalah satu hujahan juga. Mereka ada alasan untuk menanggapi pernyataan Puan Padilah dan Aidil dengan alasan rasional mahupun emosi. Besar kepala, darah panas orang muda, dinosor yang akan pupus, sastera yang hancur dll, itu juga adalah alasan yang menyokong hujahan masing-masing.

Gaya orang berhujah boleh sahaja dengan rasional dan juga emosional. Lihat sahajalah pada relevansi hujahan tersebut.

Bila menolak pandangan orang lain, dan mengatakan hujahan orang bukan satu hujahan, kita tak ubah seperti orang Kreta yang mengatakan bahawa orang Kreta itu suka berbohong.

Jika benar pandangan Puan Padilah itu tidak seharusnya datang dalam kapasitinya sebagai Ketua Editor, Aidil sudah memberikan alasan dan kesimpulannya. (Walaupun, sudah menulis, tak perlulah provokasi dengan writ saman. Itu sikap yang memanjangkan rasa rusuh).

Tapi, alangkah baiknya jika kita dapat mendengar dari sisi editor-editor yang secara langsung terlibat dalam pemilihan.

Ada ramai penulis yang karya-karyanya muncul di Dewan Sastera tanpa pernah sekalipun masuk senarai pemenang hadiah sastera. Ada ramai juga penulis muda yang mendapat tempat di majalah DBP. Tetapi, adakah itu semua pertimbangan daripada Ketua Editor sendiri (semata-mata)?

Dan ada ramai sarjana sastera bergelar profesor yang tidak mengenali langsung penulis-penulis yang karyanya muncul di Dewan Sastera aka tidak membaca Dewan Sastera (ya, ini soal lain, tetapi sangat mendukacitakan kita juga).

Ya, ada banyak perkara yang tidak jelas. Alangkah bagus jika kita boleh mendapat jawaban yang objektif (fakta?) tentang hal ini daripada para editor.

Sayang sekali, sastera dan orang-orang yang terlibat di dalamnya lebih cenderung melihat banyak perkara secara subjektif dan relatif.

Semoga yang baik-baik sahajalah yang dapat kita baik setelah ini, sama ada bersetuju atau tidak, dengan seribu macam hujah masing-masing.

(Adakah catatan saya ini juga tidak dapat dianggap sebagai hujah? Adakah semua hujah perlu fakta ABC atau 123?)

Sekian, berbanyak maaf dan terima kasih.

SA

Anonymous said...

Tahukah anda bahawa Aidil Khalid pernah menang HSKU dan cerpennya dijadikan judul, RES JUDICATA?

Tahukah anda bahawa Aidil Khalid tak heran pun dia menang atau tak?

Tahukah anda bahawa Aidil Khalid tak datang pun masa penyampaian HSKU atas sebab prinsipnya yang tak pentingkan kemenangannya?

Tahukah anda dia tak pernah terfikir pun bahawa karyanya yang menang itu cukup bagus untuk menang?

Tahukah anda, bahawa anda tak kenal siapa Aidil Khalid dan anda bercakap sesuka hati anda dan menyebabkan orang-orang-orang-orang dan banyak lagi orang mentertawakan anda atas sebab anda bercakap tanpa bukti yang anda kenal perwatakan Aidil Khalid dan menyerang peribadinya, membuat andaian itu dan ini?

Tahukah anda, betapa malang dunia sastera punya orang seperti anda yang menyatakan Aidil Khalid seakan-akan ahli politik tapi sebenarnya anda kelihatan lebih-lebih ahli politik yang sedang mengumpat di kedai kopi sambil main dam aji kerana tiada kerja nak dilakukan?

Anonymous said...

hebatnya manusia yang bernama aidil ni.. cuba mencari bakul hikmat untuk menjulang nama sendiri dalam dunia sastera (hebat ke?????) ke hebat dalam pertandingan berkokok. kesian...

notalalaland said...

Ya, benar Aidil pernah menang hadiah sastera berprestij.

Ya, benar Aidil tidak peduli pun tentang kemenangannya.

Ya, benar Aidil tidak datang menerima hadiah sastera berprestijnya.

Ya, benar Aidil tidak pernah berfikir atau mengatakan karyanya bagus.

Ya, benar ada yang mengenali Aidil dengan lebih akrab daripada orang lain yang di sini.

Ya, mungkin sahaja selain satu dua orang, kita memang tidak tahu manusia yang bernama Aidil.

Tetapi, kita di sini sebenarnya cuma menilai penulisannya tentang entri yang satu ini sahaja.

Ya, seperti Aidil yang tidak peduli dia menang atau tidak, kita juga tidak peduli tentang itu.

Ini bukan soal tentang Aidil. Ini soalan "APA" yang dinyatakan dalam entrinya.

Itu sahaja. Dengan membawa peribadi Aidil sebagai menegakkan pernyataan Sdr. (menyokong Aidil), adakah ini tidak lebih tidak kurang seperti mengata dulang paku serpih. Seperti mengatakan orang menggunakan hal peribadi dalam hujah, kita pula yang melambakkan peribadi orang ke dalam hujah kita berlebih-lebih.

Macam dicakapkan oleh Sdr. SA tentang orang Kreta (Crete? Greece) yang mengatakan orang Kreta berbohong, nampak gaya semua hujah yang dianggap masing-masing benar tak ubah seperti sebuah cerita bohong dari mulut masing-masing yang mengatakan cerita orang lain semua bohong.

Memang tidak akan selesai. Tapi, bukankah lebih baik jika penilaian masing-masing berkecenderungan untuk menuju hal yang baik, bagaimana saranan untuk membetulkan keadaan.

Mungkin seperti orang lain juga, saya tak ubah seperti tikus membaiki labu. Dan terjun ke dalam lautan sastera yang sebenar-benarnya. Realiti.

Apa kata kita menulis surat rasmi kepada pihak DBP, Ketua Editor dan sidang editor majalah yang berkenaan yang mengusulkan segala macam usul kita untuk memperbaiki suasana?

Apa kata kita mengundang mantan editor dan editor DS yang baru untuk menyatakan suara hati dan gagasan fikiran mereka pula?

Apa kata kita mendengar lebih banyak suara dalam hal ini, daripada orang-orang lama dan orang-orang baru juga.

Apa kata kita memberi usul dan jangan lagi membahaskan isu?

Apa kata kita jangan menjatuhkan hukum, pada Aidil, pada Puan Padilah, pada Dewan Sastera, pada sastera Melau/Malaysia, pada semua yang mahu bersuara?

Wassalam,
Lala

Anonymous said...

Sokong Aidil! Sangat bernas dan jitu!

Anonymous said...

sangat meloyakan...

Anonymous said...

Bagus Aidil. Mungkin ini hanya jentikkan kecil untuk DS.

Anonymous said...

well said aidil. having known u and had the chance to evaluate u as a student, i do agree with what u said. dan terlalu ramai yg mindanya tidak terbuka! but this is nothing new. biasalahkan...mentaliti mcm org gomen yg lain2...

Mohd Jimadie Shah Othman said...

Hanya jauhari mengenal manikam. Apa boleh buat di DBP cuma banyak Johari, bukan jauhari.

2. Abaikan kata saya. Saya tak pernah menang sayembara kerajaan. Makanya saya tak bagus.

3. Dan, salut atas keberanian!

Mohd Jimadie Shah Othman said...
This comment has been removed by the author.
Endang said...

Sampai ke hari ini si Puan Padilah itu tidak menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Aidil Khalid, ini menunjukkan apa? Ini menunjukkan bahawa dia malu dah sudah tersilap!

Anonymous said...

Komentar yang dok defend2 Padilah tu kawan2 dia gak, alah kumpulan kecik aja yg tak kenal sastera tapi berlagak tau semua, hancurlah dbp kalau deme jadi ketua..

gw2 gold said...

Pernyataan Puan Padilah adalah hujah beliau. Itu justifikasi beliau bersandarkan jawatan yang dipegangnya (adakah ini juga pegangan Editor Dewan Sastera sendiri?). Mungkin juga justifikasi itu datang dengan pandangan personal beliau sendiri.

Hujahan Aidil juga ada alasannya. Itu pandangan Aidil, dan beliau berhak menyanggah pernyataan Puan Padilah. Mungkin juga pernyataan Aidil bersifat umum kepada semua majalah DBP atau dipersoalkan khusus kepada Dewan Sastera sahaja.gw2 gold
cheap guild wars 2 gold

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP