Thursday, June 28, 2012

Sedikit Nota Tentang Awal Mulanya

I  

APAKAH yang dimaksudkan dengan kata ‘cerpen’, kita tahu, adalah akronim untuk ‘cerita pendek’. Apakah pula yang dimaksudkan dengan kata ‘cerpenis’, kita juga tahu, adalah individu yang menulis cerita pendek, yakni pengarangnya. Pun, saya pernah mendengar pendapat – yang nadanya agak bersifat cabaran; atau barangkali juga sindiran – bahawa untuk seseorang pengarang cerpen, dia belumlah layak memakai gelar ‘cerpenis’ selagi belum terbit sekurang-kurangnya sebuah buku yang menghimpunkan kumpulan cerpen perseorangannya. Pandangan ini bukanlah didasarkan kepada sebarang kajian serius, tetapi, sebagai penulis kecil yang bercita-cita untuk menandakan kewujudan kreatifnya di tengah-tengah arus kecerpenan tanah air, sedikit sebanyak saya merasa agak terdorong juga – atau tercabar – kerana sehingga kepada terbitnya buku ini, saya belum memiliki sebuah pun buku kumpulan cerpen persendirian – walaupun cerpen-cerpen yang saya karang telah banyak terbit secara eceran dalam pelbagai penerbitan bercetak arus utama. Alhamdulillah, dengan terbitnya buku ini, diharapkan maka dapatlah kiranya menjadi semacam penanda akan kewujudan saya sebagai cerpenis kecil di tengah-tengah belantara cerpen tanah air yang serba subur dan adakalanya kompetitif.

II
MENURUT rekod, saya mula mengirimkan karya secara eceran pada penghujung tahun 2005. Cerpen yang mula-mula terpilih dan disiarkan dalam penerbitan bercetak pula bertajuk Susahnya Nak Kahwin. Cerpen tersebut terbit dalam majalah Dewan Agama dan Falsafah keluaran bulan Ogos tahun 2006. Saya tidak memasukkan cerpen itu dalam buku ini, atas banyak sebab, tetapi yang paling utama, kerana apabila saya membaca cerpen itu kembali, wajah saya akan merona kemerahan menahan malu.

III
ADA juga beberapa cerpen lain, tepatnya tiga buah semua sekali – bertajuk Kereta Punya Angkara, Bila Nysrah Kata Tak Mahu dan Bila Adik Dinie Melatah (masing-masing terbit dalam majalah Tunas Cipta, Remaja, dan juga Al-Islam) – yang telah turut saya sertakan ketika mengirimkan manuskrip kumpulan cerpen ini kepada pihak penerbit. Tetapi ketiga-tiga cerpen itu, sesudah dinilai oleh “panel penilai pakar”, telah kemudiannya diputuskan sebagai tidak sesuai digandingkan dengan cerpen-cerpen lain di dalam kumpulan cerpen ini yang digolongkan sebagai ‘kelompok cerpen idea’. Secara peribadi, saya sebetulnya berasa sedikit janggal dengan pengklasifikasian dan pengkategorian seperti itu, kerana ia menimbulkan persoalan mengenai penilaian bagaimanakah yang dipakai bagi menyatakan bahawa sesuatu cerpen itu tergolong ‘cerpen idea’ atau pun tidak? Dan ini akhirnya, entah kenapa, mengingatkan saya pula kepada kata-kata seniman Latiff Mohidin berhubung ketidak-senangan hatinya apabila sajaknya dibedah dan disiat: “Pada mulanya, para pembedah puisi itu memakai pisau belati ... kemudian memakai gergaji untuk membedah sajak-sajakku. Aku tidak hairan jika sebentar lagi mereka memakai cahaya laser pula untuk mencari kata-kata yang tiada itu!”

IV
KALAU dihitung dari tahun 2006 sehingga saya menulis Sedikit Nota Tentang Awal Mulanya ini, sudah kira-kira enam tahun saya menceburi bidang kecerpenan. Dalam tempoh enam tahun itu, tentunya banyak turun-naiknya, dan banyak juga kiri kanannya. Saya ghairah sekali mencuba-cuba, kerana sebagai penulis muda yang baru mula merangkak dalam dunia kepengarangan, tentunya saya dipengaruhi oleh rasa ingin tahu dan ingin bereksperimen yang membuak-buak. Justeru, gaya kepengarangan saya tidaklah senantiasa sama dalam setiap cerpen, sebaliknya terkadang menemui jalan berbeza dan berlainan sama ada secara disengajakan mahupun tidak disengajakan. Bahkan adakalanya gaya yang telah digunakan itu, andai diminta untuk saya menghasilkannya semula pada hari ini, barangkali saya tidak akan dapat melakukannya lagi. Saya anggap itu sebagai sebahagian dari proses kepengarangan yang barangkali saja tak akan pernah ada titik noktahnya.

V
SERINGKALI gagasan Roland Barthes berkenaan kematian pengarang dalam esei terkemukanya yang terbit pada tahun 1967, The Death of the Author, dikumandangkan apabila membicarakan tentang pengarang dan kesusasteraan. Kematian di sini, kita fahami, tentulah bukan secara literal sebaliknya metaforikal. Bahawa sebaik-baik sahaja sesuatu karya itu terbit dan sampai kepada khalayak, maka menjadi milik khalayaklah sepenuhnya untuk memberi makna dan mentafsirkan apa saja; dan pengarang tak punya hak bersuara lagi – maka kita katakan pengarang telah ‘mati’ – kerana yang hidup dan mesti bernafas sendiri adalah teks dan bukannya pengarang. Pun, jarang-jarang pandangan atau pendirian Barthes kira-kira lima tahun sesudah itu diberi perhatian. Bahawa dalam Le Plaisir du Texte, yang terbit pada tahun 1975, Barthes membuat pengakuan bahawa sungguhpun pengarang telah mati, beliau tetap menginginkan kehadiran pengarang di dalam teks yang dibaca: “[B]ut, in the text, in a way, I desire the author: I need his figure...”. Maka dalam hal ini saya kira barangkali tidak ada salahnya sekiranya seseorang pengarang itu, sesudah menghasilkan sesebuah karya, turut kemudiannya bersuara merakamkan pengalamannya serta proses kepengarangannya.

VI
KARYA kreatif, sungguhpun tercipta daripada imaginasi pengarang, sebenarnya tidaklah hadir dari ruang kosong semata-mata. Bahkan sebenarnya selalu wujud cerita di sebalik cerita yang ditulis oleh pengarang. Sering kali juga wujud niat-niat tertentu yang terpendam di dalam dada pengarang sehingga akhirnya dilempiaskannya ke dalam bentuk karya cereka. Dan tak kurang lazim juga, pengarang memanfaatkan suasana sekitarnya serta pengalaman tertentunya, bahkan juga input-input dari bahan bacaannya, untuk akhirnya diadun dan digaul menjadi karya kreatif. Justeru, saya telah dengan sengaja mengambil inisiatif untuk di penghujung setiap cerpen di sini, menurunkan catitan-catitan yang barangkali boleh dipanggil sebagai proses kreatif. Ia merakamkan pengalaman di sebalik tabir terciptanya karya-karya tersebut. Barangkali juga turut sama terakam adalah aspirasi peribadi, serta pencarian jati diri sebagai seniman yang berusaha memperkukuh tapak dan tuju arah. Diharapkan catitan-catitan pengarang atau proses kreatif itu – yang ada kalanya agak panjang huraiannya – dapat menjadi nilai tambah buat para pembaca menikmati dan menghadami cerpen-cerpen di sini. Justeru judul Audi Alteram Partem telah dipilih dan diangkat sebagai tajuk kumpulan cerpen ini, yang sebenarnya berasal daripada maksim latin dan secara harfiahnya membawa erti ‘dengarkanlah juga kisah berseberangan’. Maka di samping membaca cerpen-cerpen yang dihidangkan, jemput dan dengarkanlah juga kisah-kisah di sebalik penghasilannya.


Aidil Khalid
Shah Alam, Selangor
September 2011-Jun 2012



*Dipetik daripada pendahuluan buku Audi Alteram Partem yang bakal diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia dalam waktu terdekat ini. 

4 comments:

Tetamu Istimewa said...

Tahniah saudara aidil. Insyaallah jika berkesempatan akan saya miliknya nanti.

pepol said...

tahniah,akan cuba untuk mendapatkannya..

gw2 gold said...

KALAU dihitung dari tahun 2006 sehingga saya menulis Sedikit Nota Tentang Awal Mulanya ini, sudah kira-kira enam tahun saya menceburi bidang kecerpenan. Dalam tempoh enam tahun itu, tentunya banyak turun-naiknya, dan banyak juga kiri kanannya. Saya cheap guild wars 2 gold
buy guild wars 2 gold

evotuhat said...

Thank you. God bless you :D
”Kuule toista osapuolta”
http://evotuhat.wordpress.com/audi-alteram-partem/

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP