Sajak: Anak (Dara) Pak Cik
ANAK (DARA) PAK CIK
Anak muda, jangan tak tahu:
anak pak cik, kulitnya gebu
rambut panjang beralun ayu
kening pantis indah berseri
bibir meranum harumnya kasturi
dagu meruncing cantik sekali.
+mahukah anak muda kepadanya?
- mahu.
Anak muda, mari ke mari:
anak pak cik pelajarannya tinggi
lulusan dari luar negeri
menjabat jawat sebuah agensi
pintar memasak juga mencuci
di pejabat mengarah itu ini
di rumah santun jadi suri.
+mahukah anak muda kepadanya?
- mahu.
Anak muda, sini dengarkan:
anak pak cik tak calang-calang
rupanya elok, parasnya pun elok
pelajarannya baik, pekertinya pun baik
pekerjaannya tinggi, hemahnya pun tinggi
di dapur amatlah mahir, di kamar masih amatir.
+mahukah anak muda kepadanya?
- mahu.
Delapan belas ribu ringgit,
sebagai hantaran serba satu
kalau tak mampu sekali lalu
boleh dibayar beransur-ansur.
+mahukah anak muda kepadanya?
- bolehkah dikurang barang sedikit?
Anak muda, sini dengarkan:
anak pak cik tak calang-calang
rupanya elok, parasnya pun elok
pelajarannya baik, pekertinya pun baik
pekerjaannya tinggi, hemahnya pun tinggi
di dapur amatlah mahir, di kamar masih amatir.
Tidak boleh dikurang-kurang,
begitu sudah harga pasaran.
+mahukah anak muda membelinya?
Aidil Khalid
17-19 Februari 2011
Shah Alam, Selangor
*Terbit dalam Berita Minggu; 27 Februari 2011

3 comments:
nice...
Salam,
Saya tercari-cari contoh skrip drama radio kerana ingin mencuba untuk menulisnya sehinggalah saya terjumpa entri saudara bertarikh 1 Januari 2010
(http://aidilkhalid.blogspot.com/2010/01/peluang-menulis-skrip-drama-radio.html)
Jika saudara sudi, saya ingin mendapatkan naskah contoh skrip.
terima kasih. Wan Ahmad
wansster@gmail.com
hemahnya pun tinggi
di dapur amatlah mahir, di kamar masih amatir.
Tidak boleh dikurang-kurang,
begitu sudah harga pasaranhttp://www.gw2.us/
guild wars 2 gold
Post a Comment