Sepuluh Perkara Tentang Aidil Khalid

1. Bertugas sebagai peguam di Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil.

2. Memegang ijazah sarjana muda pengajian undang-undang BLS (Hons) dari Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, dan seterusnya kelayakan profesional pasca ijazah LL.B (Hons) dari universiti sama

3. Mula menghantar karya ke penerbitan sekitar penghujung tahun 2005. Cerpen dan sajaknya mendapat tempat di media cetak arus perdana seperti Majalah I, Tunas Cipta, Dewan Budaya, Al Islam, Nur, Berita Harian, Mingguan Malaysia, dan lain-lain. Skrip drama radionya disiarkan di radio Klasik Nasional FM, manakala novel pertamanya, Bila Nysrah Kata Tak Mahu, diterbitkan Jemari Seni Publishing pada pertengahan tahun 2008. Novel keduanya pula bertajuk Dengan Tinta, disirikan setiap hari Ahad di kolum Sanggar Kreatif akhbar Berita Minggu. Kumpulan Cerpennya, Audi Alteram Partem diterbitkan oleh Legasi Oakheart pada tahun 2015.

4. Melalui cerpennya bertajuk Taaruf yang terbit dalam akhbar Mingguan Malaysia (19 Disember 2010), dia telah menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Cerpennya Res Judicata pula (terbit dalam Mingguan Malaysia, 6 Jun 2010), diangkat oleh Kementerian Pelajaran sebagai teks wajib bagi para pelajar tingkatan 4 dan 5 seluruh Malaysia yang mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dalam buku antologi Kubentang Sehelai Peta.

5. Selain menulis, juga merupakan peminat seni mempertahankan diri: taekwondo dan juga silat. Di zaman mahasiswanya, mewakili universiti bagi kedua-dua sukan tempur ini. Tetapi kini berhenti terus dari sebarang aktiviti sukan tempur atas nasihat doktor -- walaupun adakalanya terasa gian juga ingin menyepak dan menerajang. =)

6. Mencintai keindahan alam ciptaan Tuhan. Menyukai aktiviti snorkeling dan menyelam scuba, serta memegang lesen PADI (Professional Associations of Diving Instructors). Peluang menjelajah ke negara asing digunakan bagi menikmati keindahan terumbu karang dan kemilau ikan di dasar laut negara-negara tersebut. Tapi sayang sekali, kini sudah lama tidak bergiat dalam aktiviti ini lagi.

7. Pernah menuntut di Sek Ren Keb Raja Muda, Manarat International School (Jeddah, Arab Saudi), Sek Ren Islam Qurratul Ain, Sekolah Dasar Islam Athirah (Indonesia), Makassar International School (Indonesia), Sekolah Menengah Islam Al-Amin, Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Rembau dan menamatkan SPM pada tahun 2001 di MRSM Serting. Kemudian menyambung pengajian dengan mengambil A Levels di Kolej Universiti Sunway, sebelum menyambung dalam jurusan Undang-undang di UiTM.

8. Sekolah dan institusi yang terlalu banyak itu bukanlah kerana dia pelajar nakal yang dibuang sekolah, sebaliknya kerana hidupnya memang sentiasa berpindah-randah sejak dari kecil. Pekerjaan ayahnya menuntut perpindahan dari satu negara ke satu negara. Alhamdulillah, hal ini memberi peluang kepadanya untuk tidak sahaja dapat menginjakkan kaki, malahan dapat pula merasa pengalaman tinggal di negara-negara tersebut.

9. Mengisi masa lapang dengan menonton filem, berenang, membaca, atau sekadar bersunyi-sunyian. Kagum dan meminati kesusasteraan hasil karya Pramoedya Ananta Toer dan Haruki Murakami.

10. Merasakan bahawa filem Itali, The Best of Youth  (La Meglio Gioventu) oleh pengarah Marco Tullio Giordana dan filem Indonesia Gie oleh Riri Reza adalah dua filem paling mengesankan yang pernah ditontonnya sepanjang hayat.


  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP